Followers

Thursday, May 10, 2012

6 Bulan Berlalu Di Tanah Air...

Subhanallah! Sedar tak sedar rupanya sudah hampir 6 bulan saya menjejakkan kaki semula ke tanah air setelah hampir 20 bulan berkelana menuntut ilmu dan pengalaman yang tidak ternilai di tempat orang. Alhamdulillah cabaran sebagai pelajar sarjana telah berakhir dan meninggalkan kenangan yang takkan saya lupakan selagi diizinkan Allah.

Setelah enam bulan meneruskan semula rutin harian seperti sebelum ini, saya dan keluarga masih lagi dalam suasana menyusun aturan hidup yang terbaik untuk kami dan anak-anak. Alhamdulillah kebanyakan perkara berjalan lancar berkat rahmat Allah dan pertolongan ahli keluarga. Buat masa ini kami menetap di kuaters kerajaan di Presint 15-12A, blok apartment yang sangat strategik kedudukannya kerana terletak di antara Presint Diplomatik yang menempatkan kedai-kedai dan Kompleks E di mana saya bertugas di Kementerian Kesihatan. Oh iya, saya telah ditempatkan sebagai PTM di Kementerian Kesihatan Malaysia, bermakna masih berada di kompleks yang sama seperti Kementerian Pelajaran Malaysia sebelum ini. Saya tidak berhasrat untuk memohon secara specific mana-mana kementerian kerana percaya di mana-mana saya diletakkan, saya akan berpeluang belajar perkara baru di samping menimba pengalaman yang berbeza dari jabatan-jabatan sebelum ini. Ini adalah jabatan yang ke-empat saya ditugaskan selepas berkhidmat di English Language Teaching Centre, KL (2004-2005), Bahagian Pengurusan Maklumat, KPM (2005-2009) dan Bahagian Perolehan dan Pengurusan Aset, KPM (2009-2010). Di setiap jabatan saya telah belajar banyak perkara baru dan meninggalkan memori suka dan duka yang pastinya telah mmatangkan saya dan meletakkan saya di keadaan di mana saya berada sekarang. Setiap manusia pasti hanya mahu perkara yang indah berlaku dalam hidupnya sedangkan kita sering terlupa yang ujian dan kepahitan itu Allah jadikan supaya kita mengerti tentang hakikat kehidupan dan menjadikan kita orang yang lebih 'kuat' dan berjaya pada masa depan. Maklumlah, kejayaan dan keindahan hidup itu tidak akan datang bergolek jika tidak ada usaha dan semangat untuk menempuh apa jua cabaran yang mendatang. Yang pastinya, matlamat kehidupan kita yang utama adalah akhirat, untuk mngejar ganjaran syurga yang hakiki. Jika kita yakin dengan janji Allah, insyaAllah setiap yang berlaku dalam kehidupan ini dilihat dan dirasai sebagai keindahan. Walaupun pahit di dunia, atas berkat sabar dan kebergantungan kepada Allah, ianya terasa manis kerana terlihat ganjaran yang menanti di sana...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...