Tinggal kurang seminggu lagi sebelum EDD yang dijangka. Pengalaman kelahiran-kelahiran sebelum ini biasanya hanya awal sehari dua menyebabkan saya boleh relaks dan merancang pelbagai perkara lagi pada saat-saat akhir ini. Air dan minyak selusuh pun baru saja sempat disediakan oleh suami. Hajat di hati nak dapatkan air zamzam dari Kak Masitah tapi sementara tak dapat tu, gunakan air masak biasa dahulu. Minyak kelapa pula kebetulan minyak yang kami bawa dari Malaysia dulu yang disediakan Opah masih ada, hanya perlu dibacakan ayat-ayat al-Qur'an untuk menjadikannya minyak selusuh. Pengalaman sebelum ini rasanya saya tidak pernah meminum air selusuh yang disediakan oleh suami. Saya hanya minum air Zhafran dan mengambil Salindah. Cuma kali ini sahaja kebetulan baru mendapat tahu mengenai penyediaan air selusuh jadi saja mencuba memandangkan kaedahnya hanyalah dengan bacaan ayat-ayat al-Qur'an.
Minggu terakhir ini menggagahkan saya memasak macam-macam makanan yang kemungkinan tidak dapat dinikmati semasa dalam pantang. Memandangkan tukang masak utama keluarga selepas ini akan bertukar sementara kepada suami, maka eloklah saya memasak dan menyediakan makanan-makanan yang mengikut seleranya sebelum tiba masa dia pula untuk pulun menyediakan makanan saya dan anak-anak kurang seminggu lagi. Stok lauk pauk dalam pantang alhamdulillah telah sempat kami beli di pasar Vietnam di Inala. Antaranya adalah ikan tenggiri, ikan merah, hati lembu, serai, halia, cili api (tak boleh hidup tanpa cili api, :-D) dan ulam pegaga. Stok ikan bilis dan ikan masin yang mak bawa pada hujung tahun lepas masih ada dan dijangka cukup untuk dalam pantang. Koleksi resepi dalam pantang telah saya sediakan tetapi belum berkesempatan untuk edit dan print out untuk diserahkan kepada bakal chef nanti.
Setakat ini belum ada tanda sakit-sakit lagi tetapi itu adalah normal bagi saya berdasarkan pengalaman sebelum ini. Biasanya saya akan mula sakit selepas maghrib dan selepas menikmati makan malam yang lazat. Seperti pengalaman anak sulung, saya mula sakit pada waktu magrib dan setelah selesai menikmati sebungkus nasik lemak ayam berempah yang dibungkus dalam daun pisang. Anak nombor tidak dikira kerana dilahirkan secara induce mungkin kerana tarikh period saya yang tidak tepat ketika itu. Anak ke-3 mula sakit selepas solat maghrib dan ketika sedang menikmati sate Kajang di rumah mak di Taman Sekamat. Anak pertama saya ke hospital selepas Isya' kerana telah pecah ketuban tetapi anak ke-3 saya hanya ke hospital keesokan paginya kerana mengira jarak contraction yang berlaku. Bila sudah mula contraction setiap lima minit, barulah saya bertolak ke hospital. Jadi sempatlah saya solat subuh dan menikmati sarapan nasi lemak, milo panas dan telur ayam kampung setengah masak pagi itu sebelum menuju ke hospital.
Pengalaman yang ke-4 ini tidak pasti lagi macam mana pula agaknya tetapi apa pun saya doakan agar Allah memudahkan segala urusan. Amin Ya Rabbal-'Alamin...
3 comments:
semoga segalanya dipermudahkan insyaallah...tak sabar nak main dengan baby..hehe
good luck acik....
Anak ke-empat.
Lahir oversea.
Berdoalah, moga dipermudahkan segala urusan.
Insya Allah.
Post a Comment