Alhamdulillah perjalanan kami yang bermula pada pukul 9.15 pagi akhirnya selamat tiba di Brisbane Aiport pada jam 10.15 malam waktu tempatan. Perjalanan yang memakan masa 10 jam dengan satu transit di Kingsford Smith International Airport, Sydney itu sememangnya meletihkan lebih-lebih lagi untuk budak-budak. Alhamdulillah kami dapat tempat di business class tetapi dengan perjalanan selama itu sudah tentu budak-budak tak boleh bertahan untuk duduk diam. Pening jugak dibuatnya melayan karenah anak-anak. Syukur perjalanan dari airport ke rumah transit berjalan lancar. Kami dijemput oleh Geuff, wakil dari University of Queensland. Kebetulan masa itu ada lagi seorang pelajar dari Malaysia yang satu penerbangan dengan kami, Siti. Jadi kami menaiki kenderaan universiti sekeluarga bersama dengan Siti yang masih single.
Sesungguhnya waktu mula-mula menjejakkan kaki di airport, hati saya masih lagi sukar mempercayai yang akhirnya saya tiba juga di Australia. Tidak pernah termimpi dalam hidup ini untuk dapat peluang melanjutkan pengajian ke negara orang. Syukur tak terkata dengan peluang dan nikmat yang Allah berikan untuk saya dan keluarga. Walaupun mungkin Australia dikatakan lebih maju dari Malaysia tetapiteknologi dan kemudahan airport Malaysia tetap tidak boleh dikalahkan oleh airport di sini. Bagi saya airport Malaysia mungkin boleh mendapat markah 99% dan airport di sini dalam 70% sahaja. Begitulah bandingannya lebih kurang. Orang-orang di Brisbane juga saya lihat lebih ramah dan helpful berbanding orang-orang di Sydney.
Kira-kira 20 minit perjalanan, kami tiba di rumah transit di Keating St, Indooroopilly. Suasana yang agak gelap agak mengelirukan untuk mencari rumah. Jam 10.30 malam di sini sama seperti jam 12 malam di Malaysia memandangkan waktu maghrib masuk pada pukul 6.30 dan Subuh pula pada jam 3.30 pagi. Kalau di Malaysia, bangun pada jam 3.30 pagi itu dikira untuk qiamullail. Terharu dan terkejut rasanya bila kami disambut oleh lebih kurang 10 orang pelajar Malaysia yang mungkin sedang menunggu kami entah sejak pukul berapa. Ada antaranya yang memang telah saya kenali sejak di Malaysia, ada yang baru dikenali melalui Persatuan Pelajar Melayu Queensland dan ada juga yang baru berkenalan di situ. Keresahan saya untuk mengangkat barang-barang yang banyak dan berat terus lega melihatkan mereka berpusu-pusu menolong. Terdapat juga sedikit bekalan makanan untuk kami seperti beras, roti, jem, dan fresh milk serta makan malam disedakan. Alhamdulillah syukur... Keluarga Irza&Fiza dan Haizi&Siha bertanggungjawab untuk membantu kami sepanjang proses awal kami di sini. Persatuan Pelajar Melayu di sini memang amat mengambil berat tentang pelajar Melayu di sini.
No comments:
Post a Comment