Setiap hujung minggu sejak sebulan dua ini, bermulalah operasi mengemas segala macam barang yang penuh di rumah. Di rumah memang banyak kotak-kotak berisi pelbagai barang yang dibawa sejak berpindah dari Australia tiga tahun yang lalu. Rumah comel kami bertambah comel dengan adanya kotak-kotak ini memenuhi rumah. Macam-macam barang yang disimpan di dalam kotak yang mungkin sebahagian besar daripadanya patut dibuang sahaja daripada disimpan.
Maka pagi-pagi selepas bersarapan, operasi tuan suami dibantu oleh puan isteri ialah menyiasat apa yang ada di dalam kotak-kotak yang banyak ini dan membuat sorting apa yang perlu. Nampaknya macam-macam barang ada di dalam kotak yang memang sepatutnya dibuang tetapi sayang. Saya pernah terbaca, satu petua untuk menyimpan kenangan dan memori bersama barang yang sepatutnya dibuang adalah dengan menangkap gambar barang tersebut. Maka bila tuan suami sibuk mengemas, saya pula sibuk mengambil gambar.
Dalam masa beberapa jam, hanya tiga kotak sahaja yang berjaya diselongkar daripada berpuluh kotak yang ada. Masuk waktu tengah hari, perlu bersiap ke rumah terbuka pula. Tunggulah Syawal berakhir nanti, insyAllah boleh lebih fokus dan lebih banyak misteri kotak dapat dirungkai...
|
Tuan suami masuk surat khabar Brunei masa bertugas luar stesyen di sana beberapa tahun lepas. |
|
Kad nama tuan suami dan puan isteri tujuh tahun lepas yang tidak valid lagi. |
|
Propektus pada zaman sibuk mencari tempat yang sesuai. |
|
Surat panggilan temuduga sambung belajar pada tahun 2008. |