Fuh..fuh... (meniup habuk dengan kuat), lama sudah blog terbiar dan tidak dikemaskini. Selain daripada tiada kesempatan, kekeringan idea untuk menulis juga membekukan semangat untuk menaip di blog. Alhamdulillah, sudah 20 hari menjengah di tahun 2014 dan Allah memberi peluang untuk saya mengandung anak ke-5 (kandungan ke-6) yang telah memasuki minggu ke-30 pada minggu ini. Syukur setakat ini ibu dan bayi sihat dan tiada sebarang masalah kecuali morning sickness yang agak lebih daripada biasa pada awal kandungan. Saya menjalankan pemeriksaan rutin di Klinik Kesihatan Presint 9 Putrajaya dan sekali sekala ke Kajang Plaza Medical Centre bertemu Dr Anita, pakar O&G di sana.Mudah-mudahan Allah memberi kelancaran pada kandungan ini seperti anak-anak sebelum ini...
Tahun ini, sudah tiga orang anak bersekolah rendah di Sekolah Rendah Islam ABIM. Ariff di tahun 3 Hamzah, Akeef 2 Omar dan Najla di tahun 1 Abu Bakar. Alhamdulillah semua anak-anak kelihatan gembira pada sesi persekolahan yang baru. Walaupun ini merupakan pengalaman pertama Najla di sekolah rendah, dia sangat mudah menyesuaikan diri dan kelihatan sangat bersemangat ke sekolah walaupun pertama kali perlu memakai tudung dari jam 7 pagi hingga waktu saya menjemputnya kira-kira 6 petang. Bila ditanya sama ada bersekolah tadika atau sekolah Abim yang lebih seronok, jawabnya tentulah sekolah Abim kerana boleh dapat duit belanja dan beli di KOOP.. :-D.
Alhamdulillah banyak perubahan positif pada Najla sejak mula bersekolah, dia memakai pakaian menutup aurat dengan tudung dan stoking secara konsisten setiap kali keluar, lebih mudah bangun pagi dan bersiap ke sekolah dan menjaga solat lima waktu. Saya dan suami sangat gembira dengan perubahan positif ini. Baru dua minggu bersekolah, Ariff dan Akeef terpaksa bercuti sakit selama seminggu kerana dijangkiti chicken pox. Bagi mengelakkan adik-adik turut terjangkit dan saya pula mengandung, mereka dihantar bercuti ke kampung halaman di Kampar, Perak. Berdasarkan pembacaan, adalah agak berisiko sekiranya ibu mengandung dijangkiti demam chicken pox. Semoga Allah memberi kesihatan yang baik kepada kami sekeluarga...
Aleesya Nour pula masih di Taska D'Sayang Kementerian Kesihatan tetapi sudah bertukar ke kelas yang lebih 'dewasa' kerana sudah ada uniform dan mula belajar. Eczemanya masih ada walaupun terkawal. Cuma tiap-tiap malam masih mahu menggaru. Buat masa ini kami menagadakan perjumpaan rutin dengan doktor pakar di Hospital Putrajaya setiap 4-6 bulan berdasarkan temujanji. Hospital turut membekalkan ubat-ubatan seperti Aquoes dan Hydrocote cream tetapi saya menggunakan produk steroid-free, Moogoo yang dibeli sendiri di farmasi. Sudah besar dan sungguh petah bercakap dan menyanyi. InsyaAllah genap 3 tahun nanti Aleesya Nour akan mendapat adik baru pula dan harap-harap dia pandai menjaga adik nanti...