Followers

Sunday, January 23, 2011

Bencana Yang Menjadi Pengajaran

Sebaik sahaja menamatkan kelas Human Resource Management pada 11 Disember 2011, kami dimaklumkan supaya terus sahaja pulang ke rumah kerana banjir besar yang melanda utara Queensland telah sampai ke Brisbane. Beberapa tempat di kawasan utama dan bandar dijangka akan ditenggelami air mencecah sehingga 22m dari paras sungai dan kenderaan awam juga akan berhenti beroperasi memandangkan hujan yang tidak berhenti dan  air sungai Brisbane yang telah melimpah dengan banyak. Suasana menjadi agak cemas tetapi saya meneruskan perjalanan ke perpustakaan kerana buku teks yang saya pohon telah berada dalam simpanan. Ketika berada di perpustakaan itu jugalah kami dinasihatkan supaya beredar dalam masa 15 minit kerana operasi universiti akan ditamatkan dalam jangkamasa tersebut. Alhamdulillah saya sempat mendapatkan buku teks tetapi hati berasa agak bimbang dengan suasana yang tidak pernah saya lalui sepanjang hidup. Di dalam hati hanya kepada Allah saya bertawakal dan setinggi-tinggi keyakinan dan perlindungan selayaknya dirafa'kan hanya pada-Nya.

Bila tiba di rumah dijemput suami tersayang, semua siaran di televisyen memaparkan peristiwa banjir dan kenaikan paras air sungai yang luar biasa. Sehari sebelum itu, tsunami bah telah berlaku di Toowomba di mana seluruh bandar Toowomba, kira-kira 110km dari Brisbane telah dihanyutkan arus deras ketika penduduk di sana sedang meneruskan aktiviti kehidupan seperti biasa kerana tiada sebarang amaran atau tanda-tanda bencana diperolehi sebelum kejadian. Sungguh menyayat hati melihat kenderaan yang diisi penumpang dihanyutkan arus air yang sangat kuat dan ramai yang terperangkap dan hanya sempat menyelamatkan diri sehingga ke atap rumah kerana paras air yang naik secara tiba-tiba. Dalam keadaan itu diwartakan seramai 10 orang telah meninggal dan 80 orang lagi masih hilang. Kini banjir mula merebak ke Brisbane, bandar di mana kami tinggal. Kebanyakan masyarakat Brisbane dilihat agak panik dengan apa yang berlaku. Pasaraya-pasaraya utama seperti Coles dan Woolworth menjadi tumpuan luar biasa kerana stok makanan dijangka akan keputusan sekiranya banjir berterusan. Ketika suami ke sana pada pukul 4 petang, hanya fresh milk, gula dan cornflakes cereal yang dapat dibeli berbanding dengan 6 barang yang saya senaraikan untuk dibeli. Alhamdulillah kami baru sahaja mengisi stok makanan pada hujung minggu. Walaupun tidak banyak, tetapi cukup untuk kami sekeluarga dalam keadaan yang sebegini. Pada malam itu, kami hanya tidur pada pukul 2 pagi kerana tidak berhenti mendapatkan maklumat terkini mengenai status banjir di Queensland.

Keesokannya selepas subuh kami telah dihubungi oleh Akmar yang telah diingatkan oleh tuan rumahnya supaya berpindah segera pada pagi itu kerana air telah mula naik di bahagian belakang rumah dan dijangka akan terus naik hingga ke pintu rumah. Banjir pada 1974 menyaksikan kemusnahan yang serius pada bumi Queensland tetapi banjir kali ini dijangka lebih teruk dari musibah yang berlaku 35 tahun yang lepas. Sejak semalam saya telah mengingatkan Akmar dan beberapa sahabat-sahabat yang tinggal berdekatan yang rumah yang berisiko dinaiki air supaya datang menginap di rumah kami kerana berdasarkan peta kawasan banjir yang diakses melalui internet, kawasan rumah kami tidak akan dinaiki air. Memang benarlah seperti yang dijangka, beberapa kawasan di St Lucia terjejas teruk dan dinaiki pada ketinggian yang tidak disangka-sangka. Saya sangat tersentuh hati apabila mengetahui beberapa rakan lain yang tinggal berdekatan dengan rumah kami yang mengalami kehilangan tempat tinggal dan kemusnahan harta benda yang menyeluruh. Rasa bersalah kerana saya tidak dapat membantu sebelum kejadian itu menimpa mereka. Namun saya tetap percaya, apa jua yang berlaku telah ditentukan oleh Allah dan kecekalan dan keredhaan yang tinggi dalam diri rakan-rakan yang ditimpa musibah ini telah mengajar saya supaya menjadi manusia yang tabah dan yakin pada ketentuan Allah.

Berada jauh di rantau orang mengingatkan saya bahawa berkenal-kenalan dan meluaskan jaringan persahabatan sesama  sahabat-sahabat senagara adalah amat penting kerana kita tidak tahu bila masanya kita memerlukan pertolongan atau berpeluang untuk membantu rakan-rakan lain. Sebaik sahaja berita perpindahan dan bencana banjir dimaklumkan, golongan lelaki di kalangan rakyat Malaysia bertungkus lumus membantu rakan-rakan untuk berpindah tanpa mengira masa dan keadaan. Bila banjir mulai surut, mereka jugalah yang sibuk membantu membersihkan rumah rakan-rakan yang terjejas dengan penuh ikhlas walau tidak menerima apa-apa imbuhan hatta sebungkus nasi lemak atau sebotol air mineral pada awalnya. Sayangnya saya tidak berkemampuan bersama-sama membanting tenaga disebabkan keadaan fizikal yang berjalan seperti  kenderaan berat dan tiada kerja-kerja yang sesuai untuk wanita. Tetapi saya tetap ingin mengambil peluang untuk mencari dan mendapatkan sesuatu yang boleh membina jati diri saya dari peristiwa ini. Bila ada masa terluang, saya mengambil kesempatan untuk membantu apa yang termampu kerana tidak mahu melepaskan peluang untuk belajar sesuatu dari peristiwa yang mungkin tidak akan berulang lagi dalam hidup saya ini. Dalam masa kurang setahun lagi saya akan kembali semula ke tanah air dan saya tidak mahu hanya pulang dengan kelulusan sarjana dari universiti terkemuka sahaja.Saya percaya lebih banyak perkara lain yang saya perlu cari dan pelajari kerana perkara-perkara inilah yang akan menentukan pandangan dan kematangan saya pada masa hadapan. Walaupun dilihat sebagai musibah, saya sangat jelas tentang ketentuan Allah dan saya bersyukur kerana diberi peluang untuk melalui saat-saat yang telah membuka mata dan minda saya tentang betapa hebatnya kuasa dan ketentuan Allah dan betapa kerdil dan tidak berdayanya manusia hatta memiliki kekuasaan dan kekayaan setinggi langit. Dari peristiwa ini juga saya belajar mengenai pelbagai ragam dan watak manusia yang mengagumkan saya dan ada kalanya membuatkan saya berfikir. Sudah tentunya kehebatan Allah jualah yang menjadikan manusia ini dengan pelbagai sifat dan perangai supaya kita dapat saling mengenal dan mengambil contoh dan pengajaran daripadanya kerana tiada manusia yang sempurna sifatnya di dunia ini. Tetapi saya yakin Allah menjadikan setiap sesuatu itu tidak sia-sia dan hanya akan dapat dihayati oleh mereka yang berfikir.

Peristiwa ini juga memperlihatkan kepada saya betapa bersungguh-sungguhnya kerajaan Australia dan kemurnian hati warganya dalam membangunkan semula negeri Queensland yang terjejas teruk akibat banjir. Bantuan segera dihulurkan dalam pelbagai bentuk kepada semua mangsa yang terjejas secara langsung atau tidak langsung dalam peristiwa ini tanpa mengira kerakyatan, bangsa atau agama. Konsep sukarela yang diamalkan di sini juga sangat mengagumkan saya di mana beribu-ribu warga Australia terlibat dalam kerja-kerja sukarela membersihkan semula bumi Queensland setelah banjir surut.  Kerja-kerja pembersihan di sekitar St Lucia menyentuh hati kecil saya. Sukarelawan-sukarelawan yang kebanyakannya Mat-mat dan Minah-minah Salleh kelihatan bersungguh-sungguh menjalankan kerja-kerja pembersihan tanpa mengira lumpur dan air kotor yang melekat di pakaian dan kulit mereka. Di sepanjang jalan kelihatan banyak booth yang menyediakan makanan dan minumam percuma kepada para sukarelawan yang pastinya disediakan oleh dermawan-dermawan di sini. Saya cuba mengimbas semula peristiwa tsunami yang pernah melanda negara satu ketika dahulu. Keadaannya mungkin tidak sedahsyat di sini tetapi budaya kerja-kerja sosial dan sukarela di Malaysia mungkin masih tidak setanding dengan Australia buat masa ini. Harapan saya mudah-mudahan masyarakat Malaysia juga akan menjadi sehebat rakyat Australia dalam kerja-kerja mulia seperti ini kalau tidak sekarang, satu hari nanti.

Tuesday, January 18, 2011

Melawat Melbourne di Musim Panas

Alhamdulillah pada 11 hingga 18 Januari, akhirnya impian saya untuk berjalan-jalan ke Melbourne tercapai juga. Jika ke Sydney dan Canberra dulu kami mengembara dengan kereta, kali ini kami menaiki kapal terbang. Mak dan abah yang kebetulan bercuti di rumah kami pun sama-sama ke Melbourne. Jadi, bertambah meriahlah rombongan kami.

Perjalanan dari Brisbane Airport ke Tullamarine Airport di Melbourne mengambil masa kira-kira dua jam. Setibanya di Melbourne pada 11.00 malam waktu Brisbane, kami menaiki Maxi Taxi dari airport ke homestay di rumah pelajar Malaysia di Coburg. Waktu di Melbourne awal satu jam dari Brisbane disebabkan negeri Victoria mengguna pakai kaedah daylight saving memandangkan waktu siang yang panjang pada musim panas. Bila musim panas sudah berkahir, waktu di Brisbane dan Melbourne akan serupa semula.

Kembara pada hari pertama dimulakan dengan menaiki tram ke bandar Melbourne. Memandangkan hari Ahad, kami membeli tiket Sunday Saving dengan harga AUD3.60 seorang dan boleh menaiki sebarang kenderaan awam sepanjang hari. Pengalaman menaiki tram kali pertama memang sangat menyeronokkan. Tram ini seolah seperti LRTdi Malaysia tetapi bergerak di atas landasannya sendiri bersama-sama dengan kenderaan lain di jalan raya. Walaupun musim panas telah bermula, cuaca di Melbourne masih lagi antara 17-20 darjah celcius. Kami masih perlu memakai jaket dan baju sejuk semasa bersiar-siar.Antara tempat-tempat yang dilawati pada hari pertama adalah Flinders Street Station, Federation Square, Australian Centre for the Moving Image, Harbour Town, Dockland dan University of Melbourne. Kami juga berkesempatan menikmati makanan Indonesia di Es Teller yang terletak di tengah-tengah bandar Melbourne.


Pengembaraan pada hari ke-dua diteruskan dengan berjalan-jalan di sekitar bandar Melbourne menaiki tram. Kali ini kami ke Melbourne Cricket Ground (MCG) dan gelanggang tenis yang terkenal di Melbourne. Selain itu sempat juga singgah di Melbourne Museum dan Botanic Garden yang terletak berhampiran muzium untuk berkelah.  Mujurlah kami menginap di homestay yang menyediakan kemudahan untuk memasak. Dalam keadaan ahli rombongan yang ramai ini, memasak dan membawa bekal untuk perjalanan adalah lebih sesuai dan menjimatkan berbanding dengan menikmati makanan di luar.

Hari-hari berikutnya diteruskan dengan lawatan ke Philups Island yang terkenal dengan kilang coklat Pannys dan tempat melihat perarakan penguin-penguin comel yang besar sedikit dari anak kucing. Setibanya di kilang coklat Pannys, kami dikejutkan dengan cuaca sejuk yang menggigit berikutan keadaan angin nyaman yang kuat. Walaubagaimanapun, lawatan ke kilang yang memerlukan bayaran tiket ini sememangnya tidak menghampakan kerana kami berpeluang melihat sendiri bagaimana proses dan teknologi pembuatan coklat di samping mendapat pengalaman merekabentuk coklat sendiri dengan mesin yang disediakan. Rasanya coklatnya juga memang enak lebih-lebih lagi kerana kami diberi merasa beberapa sampel coklat yang baru dibuat. Kami berhenti makan bekalan nasi lemak yang dibawa dan menunaikan solat jama' Zohor dan Asar dan sebuah taman rekriasi tidak jauh dari kilang coklat Pannys. Setelah menunaikan tanggungjawab, kami singgah di Nobbies Centre untuk menikmati pemandangan yang indah dan membeli cenderamata sebagai kenangan.

Destinasi seterusnya adalah ke tempat perarakan penguin yang terletak tidak jauh dari situ. Bayaran yang dikenakan bokeh tahan juga tetapi sayangnya kami tidak dibenarkan untuk mengambil gambar atau video dengan alasan penguin sensitif kepada cahaya lensa. Perarakan berlaku selepas waktu maghrib di mana penguin pulang dari laut untuk kembali ke sarangnya. Kerusi-kerusi panjang yang disediakan seperti staduim mini di sepanjang tempat strategik di pusat itu dipenuhi dengan ramai pelawat yang datang dari dalam dan luar negara. Melihat penguin-penguin itu pulang terkedek-kedek secara berkumpulan memang mencuit hati. Sungguh bijak manusia-manusia ini mengambil peluang dan keuntungan dengan hanya memperlihatkan rutin harian panguin-penguin ini sudah memberi keuntungan yang berlipat kali ganda buat mereka. Selepas puas melihat perarakan penguin dan anak-anak pun sudah lama meragam, kami pun bertolak pulang dan sampai ke rumah pada tengah malamnya.


Keesokannya, pengembaraan diteruskan ke Great Ocean Road, salah satu tempat yang tidak boleh tidak untuk dilawati jika ke Melbourne. Perjalanan mengambil masa lebih lima jam untuk sampai ke destinasi terakhir, 12 Appostles tetapi banyak tempat-tempat menarik yang disinnggahi sepanjang perjalanan di situ. Memang benarlah seperti yang dikata, pemandangan dan suasana sepanjang perjalanan dan tempat-tempat persinggahan di sini sangat-sangat mengagumkan dan memperlihatkan kehebatan penciptanya.

Kami juga tidak melepaskan peluang untuk membeli cenderamata di Queen Victoria Market yang terkenal dengan jualan cenderamata Australia (tetapi dibuat di China) dengan harga yang berpatutan. Rupa-rupanya pasar ini bukan sahaja menjual cenderamata tetapi tedapat juga jualan makanan dan pasar basah seperti pasar-pasar biasa.

Sememangnya percutian selama seminggu di Melbourne ini mmberi pengalaman yang berharga untuk kami sekeluarga. Selepas pulang ke tanah air nanti, jika ada rezeki kami akan meneruskan agenda percutian ini di destinasi-destinasi menarik bermula di dalam Malaysia terlebih dahulu. Setelah berpeluang bercuti di negara orang, barulah kami tahu tentang keseronokan dan pengalaman yang dapat dipelajari dari percutian bersama keluarga. :-)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...