Followers

Friday, April 18, 2008

Catatan Umi dan Ayah...

Rasa-rasanya macam baru semalam Ummi terkejut sebab Adreana menendang-nendang perut Ummi dari dalam sampai terbonjol-bonjol dibuatnya. Ayah yang sama-sama terkejut pun tersenyum dan membayangkan rasa ngeri sebab ada orang dalam perut Ummi, membuatkan kami sama-sama ketawa. Manisnya saat itu, semanis masa Ummi dan Ayah sama-sama merasa tendangan Abang Long dan Abang Ngah masa mereka masih dalam perut Ummi. Kali ini, Allah beri peluang Ummi untuk melihat anak-anak Ummi membesar bersama dan Ummi berpeluang untuk rehat lebih lama setelah tiga tahun berturut-turut Ummi mengandungkan anak-anak Ummi dengan penuh kasih sayang.

Ummi masih rindukan saat-saat itu dan amat mengharapkan ianya akan berulang apabila tiba masa yang sesuai. Sedar tak sedar, Adreana Najla akan capai usia setahun beberapa hari lagi. Tibanya usia setahun menandakan lebih banyak perkara yang akan berlalu dan akan dirindui. Terharunya saat Ayah mengucup pipi Ummi tanda terima kasih kerana melahirkan Adreana. Ummi dan Ayah merasakan anak-anak kami adalah antara anak-anak yang paling bertuah di dunia kerana kami sentiasa cuba memberikan yang terbaik bukan saja untuk kebahagian dunia, tetapi untuk jaminan akhirat. Sejak dalam kandungan, Ummi akan peruntukkan masa untuk membaca al-Quran terutama surah-surah penting seperti Surah Luqman, Yusof, Yaasin, al-Waqiah dan Maryam. Ummi juga pastikan Ummi ambil makanan yang seimbang dan berkhasiat demi kebaikan anak-anak yang Ummi kandung. Setiap hari, Ummi tidak lupa makan multivitamin yang dibekalkan
dan tidak terlepas menjalani pemeriksaan rutin setiap bulan. 


20070415__30Kenangan manis melahirkan setiap anak-anak Ummi juga tidak pernah luput dari ingatan Ummi dan bila mengingatinya, Ummi rasa ingin mengulangi saat bahagia itu. Melihat wajah comel dan mendengar tangisan anak-anak Ummi buat kali pertama adalah antara nikmat dunia yang paling membahagiakan buat Ummi dan Ayah yang tidak terucap dengan kata-kata. Kerana kasih juga, Ummi berusaha memberikan susu ibu walau apa jua cabaran yang terpaksa Ummi tempuhi. Ummi masih mengingati kali pertama Adreana Ummi susukan dengan penuh kasih dan sayang dan ribuan kesyukuran Ummi panjatkan kerana hingga ke hari ini, Adreana masih diberi rezeki menikmati titisan susu Ummi sepenuhnya. 

Comelnya Adreana ketika mula-mula tersenyum dan menggenggam jari Ummi masih dapat Ummi bayangkan, membuatkan Ummi turut tersenyum. Ummi dan Ayah juga amat bertuah kerana perkembangan Adreana berlangsung secara natural dari meniarap, merangkak, bertatih dan berjalan. Lajunya bila Adreana meniarap mengejar Ummi bila nampak Ummi balik dari kerja di muka pintu. Lebih laju lagi Adreana merangkak dan sama-sama menjerit dengan Abang Long dan Abang Ngah kerana gembira menyambut kepulangan Ayah. Sekarang, Adreana sudah bertatih dan tidak puas-puas menolak kerusi plastik keliling rumah bagi membina keyakinan diri sebelum berjalan laju. Kalau pasal panjat tangga, Adreana lah heroinnya. Yang lucunya, Adreana akan menoleh ke belakang dulu sebelum mula memanjat tangga bagi memastikan tiada halangan untuk Adreana mencapai misi mencabarnya. Bila dah sampai tengah Adreana akan melambai-lambaikan tangan kepada siapa yang menonton. 

Kali pertama Adreana memanggil Ummi dan Ayah ketika usia Adreana 6 bulan juga amat mengujakan Ummi dan Ayah. Bila mengantuk, Adreana akan menyebut Ummi berulang kali, begitu juga bila bangun dari tidur, Ummi lah insan pertama yang Adreana cari. Adreana juga sangat sukakan muzik, sama seperti Abang Long dan akan menggoyangkan badan bila dengar muzik. Telatah Adreana melenggok ke kiri dan ke kanan dan kadangkala terhenjut-henjut kerana seronok menari membuatkan Ummi dan Ayah tak kering gusi.

Adreana mula makan semasa berusia 6 bulan dan makanan pertama yang Adreana nikmati adalah buah betik segar yang Ummi lenyekkan. Nampaknya, Adreana lebih meminati makanan yang natural dan dimasak. Walaupun terpaksa bersusah payah, Ummi berasa sangat gembira kerana dapat menyediakan makanan yang natural dan berkhasiat untuk Adreana kerana kasih dan sayang Ummi yang tidak berbelah bagi. Masuk 11 bulan, Adreana dah tak nak makan bubur menyebabkan Ummi mula mengajar Adreana makan
nasik. Dengan lapan batang gigi yang ada, Adreana memang sangat suka menikmati makanan yang lebih keras. Dan kata ayah, dengan gigi lapan batang tu juga Adreana gigit ayah sampai terjerit-jerit ayah dibuatnya. Ayah menggelarnya gigit kecik sebab gigi Adreana yang kecil tapi tajam. Besarnya Adreana menganga bila Ummi suapkan spageti bolognese atau bihun goreng yang Ummi sediakan sebab Adreana sangat suka makan makanan yang berasaskan mi, sama macam Abang Long.

Sejak kecil, Ummi dan Ayah cuba mendidik anak-anak supaya menjadi insan yang mencintai ilmu. Ketika masih bayi lagi, Ummi dan Ayah belikan buku-buku dan flash card yang sesuai. Setiap hari juga Ummi dan Ayah akan peruntukkan sedikit masa untuk sama-sama membaca bersama anak-anak. Alhamdulillah, anak-anak Ummi dan Ayah sangat berminat dengan buku, mengaji dan bersolat. Tidak sia-sia dan rasa
berbaloi segala pengorbanan dari segi kewangan dan masa yang Ummi dan Ayah keluarkan selama ini. Semoga anak-anak Ummi menjadi insan yang berguna dan dapat menyumbangkan sesuatu yang berharga untuk agama dan bangsa. Ummi dan Ayah juga sangat bersyukur kerana anak-anak Ummi sangat kasih antara satu sama lain. Abang Long sebagai anak yang pertama sangat terserlah ke’abang’annya dan sangat
kasih pada Abang Ngah dan Adreana. Dia sangat pandai melayan dan bermain dengan adik-adik walaupun kadang-kadang akan buatkan adik-adik menangis bila tak kena anginnya. Abang Ngah adalah orang yang pertama mencari dan menepuk Adreana bila dengar Adreana menangis bila bangun dari tidur sambil mendodoikan Adreana.

Masa Ummi dan Ayah pulang kerja bersama satu masa dulu, kami akan sama-sama ketawa bila mengenangkan telatah anak-anak yang amat kami sayangi. Anak-anak Ummilah yang menjadi pengikat kasih dan sayang dan menjadi penghibur hati Ummi dan Ayah. Bila anak-anak makin bertambah usianya, semua perkara dan telatah anak-anak yang berlalu tak akan berulang lagi. Satu masa nanti, bila anak-anak Ummi sudah makin dewasa, Ummi dan Ayah pastinya akan lebih merindui saat-saat anak-anak Ummi dan Ayah masih kecil. Tak hairanlah kalau Atuk dan Wan sangat sayang pada cucunya dan sanggup buat apa saja untuk cucu-cucu kesayangannya. Ummi dan Ayah juga akan jadi begitu dan sebab itu Ummi dan Ayah tidak mau mempersia-siakan hari-hari bersama dengan anak-anak yang kami kasihi. Semoga, walaupun usia anak-anak Ummi dan Ayah makin meningkat, ikatan kasih sayang dan kekeluargaan kita akan tetap utuh. Tak sanggup Ummi bayangkan anak-anak Ummi yang akan berjauhan meninggalkan kami kerana tuntutan ilmu atau kerjaya. Sebab itulah juga Ummi berhasrat untuk memiliki cahaya mata yang boleh menubuhkan satu
pasukan bola tampar sekurang-kurangnya supaya Ummi dan Ayah tidak cepat sunyi kerana ditinggalkan anak-anak seorang demi seorang.

Ummi dan Ayah sentiasa inginkan yang terbaik untuk anak-anak yang tersayang. Perancangan Ummi dan Ayah bukan hanya untuk setahun dua, malahan hingga tiba masa Ummi dan Ayah dijemput menemui Pencipta. Pernah satu hari Ummi membayangkan bila tiba saat Adreana akan menjadi milik orang lain, menitis air mata Ummi kerana merasakan kesedihan bila tiba saat itu. Dapatkan dia membimbing dan menyayangi Adreana
sebagaimana Ayah yang sangat kasih dan menyintai Ummi sepenuh hatinya. Andai tiba masanya nanti, Ummi sangat mengharapkan Adreana tidak melupakan Ummi dan Ayah dan menjadi isteri yang solehah. Begitulah juga harapan Ummi dan Ayah buat Abang Long dan Abang Ngah. Ummi dan Ayah tidak mengharapkan harta dan wang ringgit, cukuplah sekadar anak-anak Ummi dan Ayah menjenguk dan menyayangi kami
serta mendoakan kesejahteraan kami di dunia dan akhirat. Jangan lupa bacakan Yaasin untuk Ummi dan Ayah dan doakan kebahagiaan kami di sana sebagimana Ummi dan Ayah yang tidak henti-henti mendoakan keamanan anak-anak kami.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...