Followers

Friday, September 21, 2012

Selamat Belajar Di Semester Baru Suamiku...

Membaca posting Ustaz Hasrizal berkenaan cuti belajar mengingatkan saya kepada suami yang turut sedang menyambung pengajian Sarjananya secara part time di UiTM, Shah Alam. Sebaik sahaja kembali ke Malaysia setelah saya menamatkan pengajian, suami menyatakan hasrat untuk mengambil giliran menjadi pelajar pula. Saya sudah pasti dengan hati terbuka dan gembira, tanpa berfikir panjang terus bersetuju dengan hasrat murninya dan berazam untuk memberi sokongan sepenuhnya terhadap cita-cita dan perjuangannya nanti.

Alhamdulillah bermula Februari 2012 yang lepas suami telah memulakan pengajiannya dan semester pertama telah pun berakhir dengan jayanya. Keputusan semester pertama juga telah keluar dan alhamdulillah suami memperolehi keputusan yang jauh lebih cemerlang berbanding dengan keputusan semasa zaman first degree semasa masih bujang dan tidak banyak tanggungjawab dulu. Betullah kata orang, belajar setelah berkahwin ini lebih berkat kerana fikiran lebih lapang dan tenang walaupun kalau diikutkan lebih banyak tanggungjawab dan amanah yang harus dipikul setelah bergelar suami, isteri, ibu atau bapa. Itu belum masuk cerita bab bekerja lagi kerana zaman first degree jadi full time student, sekarang jadi part time student pula... Syukur suami juga memperolehi biasiswa MyBrain15 yang ditaja oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi. Biasiswa ini sebenarnya diperuntukkan khas untuk rakyat Malaysia yang cukup syarat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Pasca Siwazah (rujuk di sini).

Pada 22 September ini, semester baru akan bermula dan suami akan memulakan semula rutin ke kelas pada setiap pagi Sabtu dan pulang sebelum maghrib pada hari yang sama. Selamat menyambung tanggungjawab sebagai pelajar semula dan saya dan anak-anak sentiasa mendoakan yang terbaik untuk suami dan ayah tersayang. Semoga Allah melancar dan memudahkan segala urusan dan memberi keberkatan dalam setiap perkara yang kita lakukan... We love you a lot and lots...:-)

Friday, September 07, 2012

Suka Duka Ramadhan dan Syawal 1433 (Siri 2)

Syawal kali pertama setelah dua tahun kami menyambutnya di rantau orang sudah pasti menjadi hari yang ditunggu-tunggu terutama oleh anak-anak. Kali ini anak-anak berpeluang berbaju baru, merasai pengalaman pulang ke kampung dan menikmati juadah hari raya seperti kelaziman sambutan hari raya di Malaysia. Hari raya pertama tahun ini kami berpeluang pulang ke kampung suami di Permatang Pauh, Pulau Pinang kerana sememangnya tahun ini giliran berhari raya di sana. Hari raya pertama kami menikmati ketupat pulut, rendang daging, rendang ayam dan  nasi beriyani yang disediakan semenjak malam raya lagi. Raya ke-dua saya dibantu oleh adik ipar dan ibu mertua berpeluang menyediakan bihun sup, bergedel ayam dan sambal kicap yang menjadi hidangan kegemaran kami sekeluarga. Memang meriah rasanya raya kali ini kerana dikunjungi dan berpeluang mengunjungi sanak saudara dan sahabat handai jauh dan dekat.

Pada hari raya ke-enam kami bertolak ke Kampar, Perak untuk meneruskan kemeriahan hari raya kerana mak dan abah yang baru sahaja pulang dari tanah suci setelah sebulan mengerjakan umrah bersama opah. Dengan berat hati hanya dua hari sahaja bermalam di Kampar, kami telah pulang semula ke Putrajaya kerana anak-anak akan memulakan sesi persekolahan semula. Muncung dan mendung anak-anak jangan cakaplah kerana tidak berpuas hati hanya dapat menikmati sekejap sahaja suasana di kampung wan dan atuk tapi termakan pujuk juga bila mengingatkan yang cuti sekolah yang panjang akan tiba tak lama lagi.

Minggu selepas raya, kami sekeluarga memulakan kehidupan seperti biasa, ke sekolah, ke pejabat dan ke nurseri. Pada subuh hari Khamis, 30 Ogos 2012 saya tiba-tiba menyedari ada sedikit pendarahan yang berlaku. Saya menyangka itu hanyalaha pendarahan biasa kerana pernah mengalami perkara yang sama ketika mengandungkan Akeef. Pendarahannya tidak berhenti dan seakan-akan mengalami datang bulan. Saya berpesan kepada suami supaya meneruskan tugas seperti biasa dan saya akan ke klinik bersendirian pada petang itu kerana tidak terasa sakit apa-apa walaupun saya dinasihatkan supaya terus ke klinik pada pagi itu juga. Selepas menunaikan solat zohor, saya terus ke Kajang Plaza Medical Centre untuk menemui Prof Jamil yang bertugas pada hari itu. Hati terasa tidak keruan walaupun saya cuba memujuk dan menenangkan hati sendiri. Setelah imbasan dan pemeriksaan dilakukan, saya dimaklumkan oleh Prof Jamil bahawa saiz kandungan yang sepatutnya berada pada 12 minggu tidak membesar dan masih berada pada saiz 8 minggu. Jantungnya juga sudah berhenti berdegup dan pengaliran darahnya juga sudah tidak berlaku. Mendengar penjelasan itu, saya di antara percaya dengan tidak kerana tidak menduga perkara sedemikian akan berlaku. Hati tiba-taba menjadi sayu dan rembesan air mata sudah bercucuran di dalam hati walaupun di luar saya kelihatan tenang. Saya merasakan Allah sedang mendakap saya dengan penuh kasih sayang dan menyedarkan saya tentang hakikat bahawa syurga Allah itu bukan sesuatu yang Allah berikan percuma.

"Dan janganlah kamu mengaku beriman sebelum kamu diuji," (Surah Al-Ankabut : 2)

Subhanallah, saya berasa lebih tenang bila mengingatkan diri tentang ayat dan janji-janji Allah dan saya terus menghubungi suami untuk memaklumkan pengkhabaran itu. "Innalillahiwainnailaihi roji'un..", suami menerima berita dengan tenang walaupun kedengaran sedikit getar di hujung talian. Kerana ini pengalaman pertama saya mengalami keguguran, saya memohon Prof Jamil supaya menyediakan surat rujukan supaya saya boleh mendapatkan pandangan ke-dua di Hospital Putrajaya walaupun Prof menasihatkan saya supaya menjalankan D&C.

Keesokan harinya, saya suami dan Aleesya terus Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan lanjut selepas menghantar anak-anak yang lain ke rumah adik di Taman Sekamat, Kajang. Saya sudah bersedia dengan kelengkapan pakaian, manalah tau jika perlu bermalam di wad pada malam itu. Tidak sampai sepuluh minit menunggu, kami dipanggil ke bilik doktor. Berdasarkan nasihat Dr., beliau memaklumkan bahawa keputusan imbasan sedemikian kebiasaannya adalah keputusan yang pasti, lebih-lebih lagi ia diputuskan oleh seorang consultant. Walaubagaimanapun disebabkan cuti umum hujung minggu, kemudahan imbasan tidak dapat digunakan di Hospital Putrajaya dan saya diminta untuk datang semula pada hari Isnin untuk menjalankan imbasan. Saya juga dinasihatkan oleh Dr. bahawa secara lumrahnya, jika janin telah meninggal dunia, proses pengeluarannya akan berlaku secara semulajadi tetapi tidak dapat dipastikan waktu dan ketikanya. Suaminya seakan lebih bersetuju jika janin keluar secara semulajadi bagi mengelakkan komplikasi dan risiko lain yang mungkin berlaku jika menjalankan D&C. Walaubagaimanapun, jika janin tidak keluar secara keseluruhan, proses D&C masih perlu dilakukan. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk menjlankan D&C di KPMC pada keesokan harinya. Disebabkan sudah lewat petang, kami dinasihatkan supaya datang pada awal pagi Ahad kerana kebiasaanya proses D&C dilakukan pada awal pagi supaya pesakit tidak perlu bermalam di wad.

Benarlah sebaik-baik perancangan manusia, peraturan dan ketentuan Allah itu lebih bijak dan berhikmah. Pada petang itu saya sudah mula merasakan sakit kontraksi pada tahap ke-dua yang berterusan sepuluh minit sekali. Walaupun sudah berpuasa semenjak jam 10 malam, saya tidak berselera untuk menjamah makanan ketika hadir ke rumah Kak Gee kononnya untuk mengambil anak-anak kembali. Disebabkan sakit yang tidak surut, saya menjangka akan tiba masa janin keluar sendiri pada hari itu juga dan kami membatalkan hasrat untuk mengambil anak-anak. Ketika berada di pintu rumah dan bersalaman untuk pulang, saya terasa ada sesuatu yang keluar dari tempat lazim anak-anak dilahirkan. Saya berasa amat yakin itu adalah kandungan yang keluar secara semulajadi dan sakit kontraksi terus hilang seiring dengan itu. Suami terus membawa saya ke wad kecemasan Hospital Putrajaya dan seperti yang dijangka janin yang telah meninggal dunia telah keluar secara semulajadi. Disebabkan masih ada darah beku dan untuk mengelakkan komplikasi, saya diminta bermalam di wad untuk menjalankan proses D&C pada keesokan harinya.

Alhamdulillah proses D&C berjalan dengan lancar pada 2 September 2012 jam 11.55 pagi. Saya dikehendaki berpuasa selama enam jam sebelum melakukan D&C. Proses dilakukan di bilik bedah di mana saya perlu dibius separuh badan. Saya masih sedar ketika proses berjalan dan hanya berasa kebas bermula di bawah pinggang hingga ke kaki. Tidak ada rasa sakit dan proses pembersihan hanya mengambil masa lebih kurang sepuluh minit sahaja. Kakitangan di Hospital Putrajaya sangat baik hati berdedikasi. Kemudahan di hospital juga sangat moden dan slesa. Saya berasa sangat bersyukur mendapat rawatan lanjut di sana. Saya sepatutnya dibenarkan discaj pada keesokan harinya tetapi memikirkan anak-anak yang akan bersekolah esok, saya mohon agar Dr. mengizikan saya keluar pada malam itu kerana sudah berasa agak sihat. Mak dan abah juga sudah tiba di rumah setelah pulang dari kenduri di Kuantan.

Alhamdulillah hari ini merupakan hari ke-lima saya masih berpantang sama seperti orang lepas bersalin, bezanya saya tidak ada bayi kecil untuk dijaga dan disusui. Saya memanjatkan kesukuran kerana saya dipilih untuk menghadapi ujian berdasarkan kemampuan yang saya ada. Sesungguhnya ujian Allah itu akan menguji dan meningkatkan keimanan kepada Allah jika kita mampu berfikir. Semoga Allah menjadikan kita semua hamba yang sentiasa menyedari tentang hakikat kehidupan kita di dunia adalah untuk mencari kebahagian yang abadi di akhirat....

Wednesday, September 05, 2012

Suka Duka Ramadhan dan Syawal 1433 (Siri I)

Sukarnya mencuri masa untuk menulis blog walaupun sekali sekala ada masa terluang, namun idea dan feel untuk menulis itu tidak datang-datang. Alhamdulillah diberi kesempatan untuk berada pada bulan Ramadhan tahun ini dan Syawal telah masuk minggu ke-dua. Dalam kegembiraan menyambut tibanya Ramadhan, saya menerima pengkhabaran gembira yang tidak disangka pada awal Ramadhan. Hari pertama berpuasa pada tahun ini dialami dengan penuh rasa lesu dan tidak berdaya yang amat sangat. Saya cuba mencari di mana silapnya kerana jarang sekali saya berasa penat begini berpuasa pada awal Ramadhan. Saya membuat kesimpulan kerana sudah lama tidak berpuasa menyebabkan badan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri. Alhamdulillah puasa pada hari ke-dua berjalan dengan lebih baik walaupun masih berasa kelesuan yang luar biasa. Hari ke-tiga berpuasa, saya masih berasa ragu dengan keadaan tidak berdaya saya. Disebabkan hari itu merupakan hari pertama bekerja dalam bulan Ramadhan, saya berkesempatan singgah di farmasi di Anjung untuk membeli sesuatu yang mungkin boleh membantu untuk merungkai jawapan kepada kepenatan melampau berpuasa kali ini. Setelah menjalankan pemeriksaan di rumah menggunakan Urine Pregnancy Test yang dibeli di farmasi, saya tidak dapat berhenti tersenyum melihat dua garisan muncul pada alat tersebut. Walaupun tidak menyangka akan menerima berita gembira seawal ini, saya meletakkan keyakinan yang sangat tinggi pada ketentuan Allah dan apa jua yang Allah jadikan tidak ada satu pun yang sia-sia. Suami yang kehairanan melihat saya keluar dari bilik air dengan tidak berhenti tersenyum berasa hairan dan bertanya. Saya tidak pasti apa yang ada di dalam hati tetapi dia ketawa dan membuat lawak spontan bila saya maklumkan dia bakal menerima cahaya mata ke-lima pada tahun hadapan. Keesokan harinya, kami terus ke klinik berdekatan untuk menjalankan ultrasound bagi mendapatkan kepastian keadaan kandungan. Alhamdulillah, kandungan pada ketika itu berusia lapan minggu dan berada pada saiz yang sepatutnya. Saya dan suami berkongsi kegembiraan di status facebook pada hari itu kerana saya mahu bakal anak ke-lima ini tahu bahawa kami sangat gembira dengan kehadirannya dan tidak sabar-sabar untuk menatap wajahnya dan mendengar tangisan pertamanya. Saya pernah dikurniakan kelahiran tiga tahun berturut-turut dan pada ketika itu saya dan suami pernah berasa seperti diuji dengan ujian yang berat sedangkan kami tidak sedar bahawa itu sebenarnya hanya ujian sementara dan hikmahnya telah Allah perlihatkan tidak lama kemudian dan hingga kini. Alhamdulillah berkat melahirkan anak tiga tahun berturut-turut, anak-anak kami membesar bersama-sama dan dikurniakan Allah dengan sebaik-baik rupa, akal dan perangai.

Mengharungi trimester pertama dalam bulan Ramadhan kali ini merupakan pengalaman pertama saya berpuasa seperti anak-anak yang baru belajar bepuasa. Beberapa kali mengalami keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan disebabkan perut meragam menyebabkan saya terpaksa EL sehari dan MC dua hari sepanjang Ramadhan ini. Pada waktu pagi saya sering berasa tidak berdaya kerana menahan loya dan rasa pening-pening lalat. Saya gagahkan juga untuk hadir ke pejabat walaupun pada kebanyakan masa saya hanya mampu termenung dan kadang kala tertidur kerana menahan pening. Rasa berdosa dan bersalah kerana tidak dapat menjalankan tugas seperti biasa tapi saya benar-benar tidak berdaya. Selama tiga hari saya tidak dapat berpuasa kerana tidak sihat dan pada kebanyakan hari yang lain saya menggigil-gigil kerana menggagahkan diri untuk berpuasa. Sebaik menunaikan solat maghrib, saya akan terus tumbang dan akan menunaikan solat isya' dalam keadaan pening bila sudah tertidur. Hanya beberapa kali saya berpeluang bersolat terawikh dan pada kebanyakan masa saya tunaikan dengan cara duduk. Sepuluh malam terakhir tidak dapat saya raikan sepenuhnya dan pada ketika ini barulah saya menghargai betapa mahalnya harga sebuah kesihatan terutama dalam bulan Ramadhan. Rasa sedih dan cemburu kerana tidak dapat mengejar pahala ibadah khusus Ramadhan kali ini tetapi saya memanjatkan doa agar Allah menggantikan keredhaan saya terhadap kesihatan yang tidak menentu ini dengan ganjaran yang hampir dengan ibadah malam yang tidak mampu saya laksanakan pada kebanyakan masa.

Dengan penuh semangat saya telah membuka buku merah di Klinik Kesihatan Presint 9 ketika suami bercuti Nuzul Quran bagi negeri Selangor. Pada masa itu usia kandungan adalah pada minggu ke-9. Bermula hari itu, saya mengambil sebiji obimin pluz yang dibekalkan oleh misi bagi memastikan kesihatan kandungan. Set Salindah yang telah saya tempah juga telah diterima dan saya perlu mula makan pada usia kandungan pada minggu ke-12. Pada waktu sedikit sihat, saya sudah mula mencari-cari nama bayi yang sesuai. Saya tidak kisah jantina bayi yang bakal dilahirkan dan hanya mendoakan agar dia sihat dan menjadi anak yang soleh. Abang-abang dan kakak-kakaknya juga sudak dimaklumkan mengenai bakal ketibaan adik baru mereka dan sudah tentu mereka sangat exited dan berebut-rebut memilih jantina kerana ingin menambah ahli pasukan untuk bermain. Aleesya juga sudah saya ajar supaya mengenal apa itu baby dan pandai menyebut baby setelah beberapa kali saya mengajarnya. Nampaknya semuanya berjalan lancar dan abang-abang dan kakak-kakak sudah bersedia untuk menerima teman sepermainan baru.

Syukur keadaan kesihatan semakin baik bila tibanya Syawal. Mungkin kerana saya boleh manjamah makanan pada waktu saya memerlukan membuatkan saya rasa lebih bertenaga. Kerana tidak pernah mengalami apa-apa masalah pemakanan terlarang pada kandungan-kandungan terdahulu, saya menjangkakan saya tidak perlu memilih sebarang makanan atau minuman untuk dinikmati pada kandungan kali ini juga walaupun saya menghadapi morning sickness yang lebih dari biasa pada kali ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...