Followers

Sunday, November 06, 2011

Menanti Pulang

Kesibukan memperolehi cahaya mata baru yang dibelai bagai menatang minyak yang penuh menghadkan masa saya untuk mengemaskini blog walaupun banyak cerita yang saya ingin coretkan untuk kenangan masa hadapan. Kini Aleesya Nour akan menjangkan usia tujuh bulan beberapa hari lagi. Dia telah memulakan makanan pejal pertamanya sebulan yang lepas dengan puri buah-buahan yang dibeli siap kerana kekurangan alat untuk menyediakan makanannya ditambah pula dengan kesuntukan masa di semester akhir ini. Blender yang ada biasanya digunakan untuk memesin cili dan bawang. Tak sampai hati pula nak menggunalannya untuk menyediakan makanan Aleesya. insyaAllah bila Aleesya menjangkau usia tujuh bulan nanti, saya berhasrat untuk menyediakan bubur nasi untuknya memandangkan dia sudah pandai mengunyah puri buah-buahannya dengan betul dan sudah sebulan berlatih mengambil makanan. Alhamdulillah segalnya berjalan dengan baik untuk Aleesya. Setakat ini dia tidak pernah kurang sihat kecuali hampir demam selepas mengambil imunisasi pada usia empat bulan.

Alhamdulillah akhirnya tiba jua di penghujung perjuangan saya sebagai pelajar Sarjana di bumi orang setelah menamatkan peperiksaan akhir dan segala tugasan yang ditentukan. Jika semasa datang dulu banyak cabaran yang perlu ditempuh dari membuat pasport, mengambil ujian IELTS, menghadiri kursus persediaan hingga kepada penyesuaian diri dan keluarga di tempat baru, rupa-rupanya ketika hendak pulang, cabarannya tidak kurang hebat. Cuma skopnya saja yang berbeza. Kali ini perkara yang mencabar adalah urusan penghantaran barang-barang melalui kontena dan menyelesaikan urusan mencuci rumah sebelum diserahkan kepada agen. Suami tersayang sangat sibuk dan tidak cukup tidur dan rehat pada minggu terakhir ini kerana menguruskan pelbagai perkara. Syukur banyak perkara telah selesai. Kini kami sedang menanti masa untuk pulang ke tanah air di samping saya sibuk menguruskan tugas-tugas terakhir sebelum menamatkan pengajian di semester akhir. Semoga Allah melancarkan segala urusan....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...