Followers

Monday, December 06, 2010

Assalamulaikum baby ummi...

Syawal sudah seminggu berlalu dan baki semester tinggal dua minggu pengajian. Selebihnya minggu mengulangkaji dan peperiksaan akhir. Jika peperiksaan pertengahan semester saya hadapi pada hari raya puasa ke dua, salah satu peperiksaan akhir akan saya duduki pada hari raya haji pertama. Itulah adat belajar di negara orang, hari kebesaran kita tidak sama dan tidak ada makna untuk negara mereka. Tak apalah, bukan sepanjang masa saya perlu begini. Sedar tak sedar, sudah sepuluh bulan saya berada jauh di perantauan dan berbaki setahun lagi sebelum pulang meneruskan bakti kepada tanah air tercinta. Walau seindah dan semaju mana pun negara orang, negara sendiri juga yang dikenang-kenang dan dirindu-rindu. Bila sudah di sini, barulah saya dapat mendalami peribahasa Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri. Peribahasa yang telah didengar sejak zaman kanak-kanak itu rupanya sangat besar maknanya kepada pelajar-pelajar yang jauh merantau demi mencari ilmu di luar negara seperti saya ini.

Minggu ini, kandungan sudah memasuki minggu ke-12. Alhamdulillah saya telah menjalani pemeriksaan doktor kali pertama di UQ. Syukur segalanya dilancarkankan setakat ini dan mudah-mudahan ianya berterusan sepanjang kehamilan dan kelahiran nanti. Tidak pernah termimpi untuk merasai pengalaman mengandung dan melahirkan cahaya mata di luar negara. Pengalaman ini insyaAllah akan menjadi salah satu kenangan manis dalam hidup saya, keluarga dan insan-insan di sekeliling. Pemeriksaan ibu hamil di sini jauh berbeza dengan apa yang saya hadapi di Malaysia tiga kali sebelum ini. Saya memilih untuk menjalani pemeriksaan secara sharing based di mana saya boleh melakukan pemeriksaan di Health Centre UQ berselang seli dengan pemeriksaan di Royal Brisbane Woman Hospital (RBWH) , tempat yang telah ditempah oleh GP untuk saya melahirkan anak ke-4 nanti. Pilihan tersebut lebih convenience untuk saya selain dari memilih menjalankan pemeriksaan penuh oleh pasukan pakar di RBWH kerana faktor jarak, masa dan kos. Jika ke RBWH, saya perlu mengeluarkan kos sendiri terlebih dahulu sebelum boleh dituntut melalui Oversea Students Health Cover (OSHC) dan saya mungkin perlu menjalani pemeriksaan tanpa ditemani suami kerana dia perlu menjaga anak-anak yang lain.

Kali pertama menjalani pemeriksaan di RBWH pada 2 Disember 2010, semasa kandungan berusia 20 minggu merupakan pengalaman yang menggembirakan buat saya. Waktu appoinment yang diberikan adalah pada pukul 12.30 tetapi saya perlu berada di sana 30-15 minit sebelum bagi urusan pendaftaran. Keadaan di Department O&G di sini tidaklah sesibuk seperti di Malaysia. Kebanyakan ibu-ibu yang datang juga tanpa ditemani suami, mungkin kerana suami bertugas. Sama juga seperti saya cuma bezanya suami saya hanya bertugas di rumah di samping menguruskan anak-anak. Kira-kira setengah jam menunggu, giliran saya dipanggil oleh midwife yang akan memeriksa saya kali pertama. Berjumpa dengan doktor perubatan di sini agak istimewa kerana doktor yang akan memanggil dan membuka pintu bilik kita. Jika di Malaysia, doktor hanya duduk bersandar di bilik dan semua kerja-kerja melayan pesakit dilakukan oleh pembantu atau jururawat. Doktor-doktor di sini juga kebanyakan sangat friendly dan professional. Setiap pertanyaan dan pemeriksaan disertai dengan senyuman dan sapaan lembut. Perjumpaan kali pertama ini berlangsung agak lama kerana midwife perlu mendapatkan maklumat lanjut mengenai keadaan kesihatan dan kandungan saya sebelum dan yang terkini. 

Oleh kerana saya belum menjalankan imbasan morphology bagi kandungan yang memasuki 18-20 minggu, saya perlu datang ke hospital semula keesokannya bagi menjalankan imbasan kandungan pula. Alhamdulillah keputusan imbasan juga sangat baik dan positif walaupun memakan masa agak lama kerana perlu menjalani full scanning bagi memastikan keadaan baby adalah normal dan tiada risiko-risiko lain. Pada usia kandungan ini juga, saya sudah dapat merasai tendangan dan gerakan bayi yang telah lama saya nanti-nantikan dari awal kandungan bermula dengan rasa seperti gelembung-gelembung belon dan semakin kuat dari hari ke hari. Nampaknya anak ke-4 saya ini memang saya aktif dan akan bergerak dan menendang di kebanyakan waktu. Jika tiada masalah morning sickness dan kehamilan berjalan lancar seperti ini, memang rasa sangat seronok mengandung. Nampaknya pencarian nama perlu saya dan suami mulakan supaya tidak kelam kabut bila dah dekat-dekat waktu bersalin nanti. Harap-harap dapatlah nama yang sesuai dan terbaik untuk anak ke-4 ummi dan ayah nanti. :-)
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...