Followers

Thursday, February 18, 2010

Selsema Oh Selsema

Sehari selepas berpindah ke rumah sendiri saya dijangkiti selsema dari anak-anak. Anak-anak dari rumah sementara dari demam seorang demi seorang tetapi alhamdulillah demamnya tak lama. Mungkin kerana tekejut dengan perubahan suasana, cuaca, air, makanan atau sebagainya. Alhamdulillah juga mereka cepat adapt dengan suasana di sini. Walaubagaimanapun selsema saya masih beterusan lebih seminggu walaupun berjenis ubat telah dicuba termasuk ubat yang dibeli dari kedai Ah Chai (kedai Cina Malaysia yang popular di sini), Panadol Soluble yang diberi oleh Akma dan Zaaba dan panadol biasa. Rasa sungguh menyesal kerana tidak membawa bekalan uabat selsema dari Malaysia. Biasanya di Malaysia dalam masa dua atau tiga hari saya akan lega setelah ambil ubat selsema kerana saya memang mudah kena selsema dan saya memang sangat tidak selesa dengan suasana itu. Mungkin ini ujian untuk saya di sini. Akhirnya saya menerima cadangan dari Azman untuk mendapatkan ubat Sudafed Day & Night Sinus Relief dari farmasi. Di sini agak payah untuk membeli ubat kerana perlu dapatkan prescribe dari doktor terlebih dahulu. Kad insurans OSHC saya masih belum siap menyebabkan agak sukar untuk saya ke klinik. Jadi terpaksalah mengeluarkan belanja lebih untuk membeli ubat. Sebenarnya ianya masih boleh diatur dengan menghubungi Student Services tapi saya malas hendak berfikir panjang untuk ke sana sini memandangkan banyak perkara berkaitan anak-anak dan keluarga yang perlu diutamakan. Hari ini setelah dua hari saya mengambil ubat saranan Azman alhamdulillah beransur lega, cuma ada sedikit-sedikit sahaja bakinya.

Ariff telah memulakan hari persekolahannya yang pertama di Ironside State School pada 14 Februari 2010 (Isnin) yang lalu. Sekolah ini merupakan antara sekolah yang terbaik dan terkenal di Brisbane. Proses memasuki sekolah di sini juga jauh lebih mudah jika dibandingkan dengan di tanah air. Saya telah mendaftar secara online sejak di Malaysia dengan membayar yuran sebanyak AUD200 dan telah menerima Confirmation Of Enrollment (COE) tidak lama selepas itu. COE itulah yang saya bawa semasa mendaftar bersama-sama dengan dokumen-dokumen lain seperti pasport ibu bapa dan anak, Visa, Surat Tawaran U dan sebagainya. Guru-guru dan kakitanan di situ sungguh baik hati dan melayan kami dengan baik walaupun keadaan kami yang bersama-sama dengan 3 orang anak yang excited nak ke sekolah agak meriuhkan suasana. Memandangkan semua dokumen yang diperlukan telah lengkap, Ariff terus ditentukan kelasnya dan terus boleh mula bersekolah pada  Isnin berikutnya. Hari pertama ditempatkan di kelas sudah membuatkan Ariff terus seronok. Dia ditempatkan di dalam kelas Prep E dan kumpulan Yellow. Satu kelas menempatkan lebih kurang 20 hingga 25 orang sahaja. Kami diperkenalkan dengan guru kelasnya yang dikenali sebagai Mrs Kathy. Seperti yang lain juga, dia sungguh peramah dan baik hati. Sesi pertama pada hari itu, kumpulan Ariff ditempatkan di bahagian stapler di mana mereka dilatih untuk menggunakan stapler dengan betul dan membentuk kertas-kertas warna supaya menjadi satu gelang yang panjang. 'Wah, ini sudah bagus! Kalau di rumah jangan harap dapat main stapler macam ni.' Mungkin itulah kata-kata Ariff dalam hati. Walaupun dia masih belum menguasai Bahasa Inggeris dengan baik, dia sangat suka ke sekolah setiap hari. Tidak pernah sekali pun dia berceta pasal yang tidak seronok di sekolah berbanding dengan semasa bersekolah di Malaysia dahulu. Semuanya seronok dan membahagiakan bagi Ariff. Alhamdulillah, mudah-mudahan semuanya dipermudahkan dan dia dapat memperolehi pelbagai perkara yang akan menjadikan dirinya seorang yang positif pada masa depan.

Satu perkara yang mengharukan ialah apabila Akeef tak henti-henti bertanya bila dia boleh mula ke sekolah. Setiap hari dia akan bangun lebih awal dari abangnya dan bersiap-siap seolah-olah hendak ke sekolah. Setiap hari dia akan ikut ayahnya menghantar abang ke sekolah. Pada asalnya saya merancang untuk mula menghantar Akeef ke kindy pada bulan Julai nanti. Tapi bila sudah begini keadaannya, kenalah hantar lebih awal. Kita tegok la bila tiba masa yang sesuai dan keadaan yang stabil nanti tiba giliran Akeef pula untuk ke sekolah. Minggu pertama bersekolah Ariff tidur sangat awal. Mungkin letih semasa membuat aktiviti di sekolh. Kadang-kadang tidak sempat makan malam dia sudah tertidur pada pukul 6 petang sehingga ke esok pagi. Jadi tak sempatlah nak mengaji lagi minggu ini. Harap-harap minggu ke-2  nanti dia boleh membiasakan diri dan ada kesempatan untuk solat dan mengaji sebelum tidur. Maklum la sekolah di sini tidak ada subjek agama. Jadi inisiatif ibu bapa sendirilah untuk mengajar agama dan mengaji. Mudah-mudahan Allah bagi kekuatan kepada kami untuk mendidik anak-anak sebaiknya agar menjadi insan yang berguna di dunia dan akhirat...

Saturday, February 13, 2010

Memulakan Hidup Di Rantau Orang

Alhamdulillah sudah masuk hari ke lima kami menetap di rumah sewa sendiri setelah seminggu lebih menumpang di rumah sementara. Terima kasih banyak diucapkan kepada tuan rumah, Abang Munir dan Kak Aida sekeluarga yang hanya kami kenali dari rakan-rakan PPMQ. Walaupun belum berkesempatan untuk bersua muka, jasa dan budi kalian akan kami kenang hingga ke akhir hayat.

Pengalaman mendapatkan rumah sewa di sini agak unik dan jauh berbeza dengan Malaysia. Di sini kebanyakan rumah sewa diuruskan oleh agen. Jika bernasib baik, ada juga rumah yang diuruskan oleh tuan rumah sendiri. Kebiasaannya, bakal penyewa akan merujuk kepada laman web seperti realestate.com untuk mengetahui rumah yang masih available. Satu lagi cara yang baik ialah dengan membuat survey terus ke kawasan yang kita target untuk tinggal. Cuma hal ini memerlukan kita untuk mengetahui serba sedikit mengenai nama-nama kawasan dan kebaikan dan kekurangan untuk menetap di satu-satu kawasan. Saya dan suami memilih untuk menetap di kawasan yang tidak jauh dari universiti memandangkan hal itu mungkin mengurangkan keresahan kepada kerumitan yang berisiko untu timbul sekiranya menetap lebih jauh. Walaubagaimanapun, kos rumah yang lebih dekat dengan U adalah lebih tinggi. Pemeriksaan rumah juga adalah perkara yang wajib sebelum kita menghantar borang permohonan untuk menyewa rumah. Kmi menjalankan pemeriksaan kepada lapan buah rumah dan menghantar permohonan untuk empat buah rumah. Ada kalanya saya yang pergi dan ada kalanya suami yang membuat inspection. Sudah tentu dengan bantuan transportation dari kawan-kawan memandangkan kami belum ada kereta dan masih belum familiar dengan kawana di sini. Syukur walaupun hanya satu permohonan kami yang berjaya, rumah yang kami duduki di Sisley Stree, St Lucia ini selesa dan sesuai dengan kami sekeluarga. Jenis rumah di sini kebanyakannya adalah terdiri dari jenis unit. Saya tidak pasti sama ada nama lain yang boleh dijelaskan atau disamakan dengan jenis rumah di Malysia. Mungkin sekadar untuk membayangkan apartmen tetapi unit di sini adalah setinggi 2 atau 3 tingkat sahaja. Tingkat paling bawah adalah garaj dan tingkat yang seterusnya barulah rumah-rumah. Kebiasaannya satu bangunan menempatkan tiga hingga sembilan buah rumah sahaja. Ada juga rumah bawah dari jenis binaan batu bata dan simen dan juga kayu. Rumah kayu dikenali sebagai queenslander lebih kurang rumah kampung di Malaysia.

Rumah partly furnished ini mempunyai 2 bilik dan 1 bilik air di mana tanda dan bilik air diasingkan. Kemudahan lain yang disediakan pula adalah mesin basuh, dryer, dapur, oven, microwave dan peti sejuk. Sewanya pula adalah AUD370 untuk seminggu atau lebih kurang RM1147 jika diconvert. Itu untuk seminggu, tak sanggup rasanya untuk convert jumlah sewa untuk sebulan. Lebih separuh dari elaun bulanan dikhaskan untuk rumah sewa sahaja. Di sini kebanyakan perkara dijalankan secara online. Kami membeli set perabot terpakai dari penjual yang mengiklankan di laman web Brisbane Exchage. Kami membeli set sofa kulit 2+2+1, set meja makan untuk 6 orang, rak tv dan tv analog dengan harga AUD220. Bagi kami harga itu cukup berbaloi kerana ia telah melegakan kehidupan anak-anak yang kebosanan dengan suasana rumah yang kosong. Dengan adanya TV yang saya kira keluaran tahun 80an itu dapat juga menghiburkan hati anak-anak. Sekarang fahamlah kami bagaimana perasaan penghargaan orang-orang yang kurang berkemampuan apabila mendapat sesuatu yang mungkin sukar untuk mereka perolehi.

Memang benarlah kata orang, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri tetapi lebih baik di negeri sendiri. Hari-hari awal kami di sini memerlukan kami untuk menghadapainya dengan penuh kesabaran. Maklumlah, suasana dan gaya hidup kami di sini sudah tentu jauh berbeza dengan di Malaysia. Jika di Malaysia hidup di rumah yang besar dan jadi pegawai, hidup di sini perlulah sederhana yang sesuai sebagai pelajar. Jika di Malaysia terasa lapar dan malas memasak, boleh la beli roti canai di kedai mamak atau makan malam di kedai tom yam tetapi di sini... oh, rasa rindu pula pada Restoran Perantau di Sg Merab dan di kedai mamat Kelantan Presint 16. Nampaknya terpaksalah kami bersabar selama 22 bulan lagi untuk menikmatinya semula. Kos makan di luar di sini agak tinggi. Saya hanya berkesempatan makan di luar sekali sahaja semasa menjalankan sesi belajar naik bas dan mengenal kawasan sekitar bersama dengan Fasiha. Kos kebab yang saya beli adalah lebih kurang AUD9++. Oh, nampaknya mungkin hanya dua atau tiga bulan sekali sahajalah saya boleh makan kebab di sini. Selebihnya saya memasak untuk keluarga dan syukur juga kerana saya memang minat memasak. Minat minat juga dapat ada kala timbul juga rasa boring duduk di dapur. Daging dan ayam halal setakat ini kami perolehi dari sebuah kedai halal di Fortitude Valley. Biasanya suami yang akan ke sana seorang diri menaiki train memandangkan kedainya agak jauh dan kami belum memiliki car seat untuk membawa anak-anak. Oh iya, Selepas seminggu kami di sini, kami telah membeli sebuah kereta entah berapa hand jenama Toyota Camry. Oh, saya tidak pernah bermimpi untuk menaiki kereta ini tetapi haruslah diingatkan bahawa kereta ini adalah keluaran tahun 1994. Jadi keadaannya tidak perlulah dibayangkan seperti kereta yang baru keluar dari kedai. Walaubagaimanapun kami masih belum memiliki car seat untuk anak-anak kerana ia adalah wajib untuk kanak-kanak yang belum mencapai ketinggian tertentu. Mudah-mudahan kami akan menemui car seat dan booster seat yang sesuai supaya boleh membawa anak-anak bejalan-jalan lebih jauh...

Sunday, February 07, 2010

Sunshine State, here I come!

Alhamdulillah perjalanan kami yang bermula pada pukul 9.15 pagi akhirnya selamat tiba di Brisbane Aiport pada jam 10.15 malam waktu tempatan. Perjalanan yang memakan masa 10 jam dengan satu transit di Kingsford Smith International Airport, Sydney itu sememangnya meletihkan lebih-lebih lagi untuk budak-budak. Alhamdulillah kami dapat tempat di business class tetapi dengan perjalanan selama itu sudah tentu budak-budak tak boleh bertahan untuk duduk diam. Pening jugak dibuatnya melayan karenah anak-anak. Syukur perjalanan dari airport ke rumah transit berjalan lancar. Kami dijemput oleh Geuff, wakil dari University of Queensland. Kebetulan masa itu ada lagi seorang pelajar dari Malaysia yang satu penerbangan dengan kami, Siti. Jadi kami menaiki kenderaan universiti sekeluarga bersama dengan Siti yang masih single.

Sesungguhnya waktu mula-mula menjejakkan kaki di airport, hati saya masih lagi sukar mempercayai yang akhirnya saya tiba juga di Australia. Tidak pernah termimpi dalam hidup ini untuk dapat peluang melanjutkan pengajian ke negara orang. Syukur tak terkata dengan peluang dan nikmat yang Allah berikan untuk saya dan keluarga. Walaupun mungkin Australia dikatakan lebih maju dari Malaysia tetapiteknologi dan kemudahan airport Malaysia tetap tidak boleh dikalahkan oleh airport di sini. Bagi saya airport Malaysia mungkin boleh mendapat markah 99% dan airport di sini dalam 70% sahaja. Begitulah bandingannya lebih kurang. Orang-orang di Brisbane juga saya lihat lebih ramah dan helpful berbanding orang-orang di Sydney.

Kira-kira 20 minit perjalanan, kami tiba di rumah transit di Keating St, Indooroopilly. Suasana yang agak gelap agak mengelirukan untuk mencari rumah. Jam 10.30 malam di sini sama seperti jam 12 malam di Malaysia memandangkan waktu maghrib masuk pada pukul 6.30 dan Subuh pula pada jam 3.30 pagi. Kalau di Malaysia, bangun pada jam 3.30 pagi itu dikira untuk qiamullail. Terharu dan terkejut rasanya bila kami disambut oleh lebih kurang 10 orang pelajar Malaysia yang mungkin sedang menunggu kami entah sejak pukul berapa. Ada antaranya yang memang telah saya kenali sejak di Malaysia, ada yang baru dikenali melalui Persatuan Pelajar Melayu Queensland dan ada juga yang baru berkenalan di situ. Keresahan saya untuk mengangkat barang-barang yang banyak dan berat terus lega melihatkan mereka berpusu-pusu menolong. Terdapat juga sedikit bekalan makanan untuk kami seperti beras, roti, jem, dan fresh milk serta makan malam disedakan. Alhamdulillah syukur... Keluarga Irza&Fiza dan Haizi&Siha bertanggungjawab untuk membantu kami sepanjang proses awal kami di sini. Persatuan Pelajar Melayu di sini memang amat mengambil berat tentang pelajar Melayu di sini.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...